Menurut laopran berita Muda Mohd Noor daripada Malaysiakini, Keadilan Akan Bangkitkan Isu Nasional di Pengkalan Pasir, yang telah disiarkan di KeadilanRakyat.org,

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP tidak berminat dengan pilihanraya kecil kawasan Pengkalan Pasir dan tidak akan mengambil sebahagian dalam pilihanraya itu.

Katanya, DAP tidak mempunyai cawangan di kawasan Pengkalan Pasir dan tidak ada sebab untuk membabitkan diri dalam pilihanraya kecil tersebut.

Apakah mesej yang dibawa oleh Setiausaha Agung kali ini ?

Bahawa walaupun Keadilan akan membantu rakan seperjuangannya, PAS untuk berkempen di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N 12 Pengkalan Pasir, termasuk Penasihatnya Datuk Seri Anwar yang akan sendirinya turun ke padang, DAP tetap tidak berminat hulurkan bantuan ?

Lebih kuranglah begitu, kan ?

Tidak berminat berkempen, atau bertanding ?

Entahlah siapakah wartawan itu yang memajukan pertanyaan ini, ataupun Guan Eng yang mengumumkannya sendiri tanpa disoal para wartawan. Namun, merujuk kepada sejarah, DAP memang jarang bertanding di mana-mana kerusi di Kelantan pun. Itu memang kenyataan, yang Omputeh sebut “Reality“.

Kepada sesiapapun yang menguasai pengetahuan asas mengenai politik Malaysia, soalan itu bukan suatu soalan langsung. Soalan itu tidak muncul sama sekali. Soalan yang lebih relevan mungkin berbunyi seperti berikut,

Bagaimanakah akan DAP menasihati penyokong-penyokong mereka di Pengkalan Pasir untuk mengundi ? Dan, apakah strategi DAP untuk menyebarkaan ideologinya secara lebih berkesan di kalangan pengundi-pengundi di Malay heartlands, seterusnya menubuhkan badan-badan akar umbi di tempat sebegitu, agar ia memperkasakan diri dan menjadi sebuah parti yang benar-benar berwajah Malaysia dan disokong kebanyakan pengundi ?

Bagaimanakah akan Guan Eng menjawab jika soalan sedemikian ditujukan kepada beliau ? Kita sama-sama seri menantikan.

Yang pasti, ini merupakan satu improvement yang jelas bagi DAP. Mengumumkan apa yang memang telahpun kita jangkakan, tanpa membangkitkan perbezaan ideologi di antara parti-parti alternatif yang akan terus menjejaskan permuafakatan sedia ada.