MCA Akui “Memang Tak Kuasa Nak Tambah Bilangan SJKC”
![]() |
Dalam dialog MCA bersama Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia / Persekutuan Guru Cina Malaysia (Dong Jiao Zong), MCA mengakui pada masa kini “memang tak kuasa nak tambah bilangan SJKC”, susah betul, cuma boleh cuba sedaya upaya. Setakat ini, yang MCA mampu hanya menuntut “pemindahan SJKC” yang tidak begitu sensitif.
Menurut seorang peserta dialog, MCA tidak mampu memberikan jawapan yang memuaskan terhadap 11 masalah yang dibangkitkan DJZ, cuma dapat menjawab dengan kabur, yang dapat dijanjikan hanya “akan cuba sedaya upaya”, langsung tidak dapat cadangkan penyelesaian ke atas masalah-masalah pendidikan bahasa ibunda yang penting.
Di dalam pertemuan yang berlangsung di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 4 petang, 10 Oktober 2005, Isnin, empat isu utama yang dibangkitkan DJZ termasuk 1) Pengajaran Sains dan Matematik diinggeriskan, 2) Hak lembaga pengurus, 3) Menambah SJKC dan peruntukan kewangan dan 4) SJKC Damansara (asal).
Wakil DJZ bangkitkan bahawa apabila MCA bentangkan “Formula 2-4-3″ (iaitu 2 waktu Bahasa Inggeris, 4 waktu Sains dalam Bahasa Inggeris dan 3 waktu Matematik dalam Bahasa Inggeris untuk Darjah 1, 2 dan 3 di SJKC, selain daripada Sains dan Matematik dalam Bahasa Mandarin), Presiden MCA ketika itu, Tun Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik pernah berkata, kelas Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris hanya akan digunakan untuk mengajar perbendaharaan kata istilah-istilah dalam Bahasa Inggeris sahaja, manakala ilmu Sains dan Matematik tetap akan diajar dalam Mandarin. Akan tetapi, apabila Formula 2-4-3 telah dilaksanakan selama 3 tahun, pengajaran Sains dan Matematik sudah menghadapi krisis “diinggeriskan”, kerana realiti bukan seperti yang Tun Ling bayangkan.
Memandangkan pembohongan MCA terbongkar, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy dengan cepat menafikan Tun Ling pernah keluarkan kenyataan sedemikian.
Mengenai isu Sains dan Matematik diinggeriskan, MCA cuma berkata akan “menuntut sedaya upaya” agar “waktu dalam Mandarin ditambahkan sebanyak mungkin, waktu dalam Bahasa Inggeris dikurangkan sebanyak mungkin”. Sayang sekali, MCA langsung tidak dapat bentangkan sebarang cadangan atau prinsip utama untuk menyelesaikan isu ini.
Wakil DJZ itu berasa, memandangkan darjah 4, 5 dan 6 SJKC telahpun menghampiri maksimum waktu pengajaran setiap minggu, satu-satunya waktu yang boleh ditambah itu harus digunakan untuk mengajar istilah-istilah sahaja. Jika tidak, kehilangan karektor dan identiti SJKC akan bertambah buruk.
![]() |
DJZ turut membidas parti pemerintah kedua terbesar kita yang apa pun tak kuasa ini, cuma dua bulan setengah daripada sesi persekolahan 2006 bermula, namun sukatan pelajaran dan waktu pelajaran pun belum diputuskan lagi. Menjawab tuduhan ini, Timbalan Menteri Pelajaran yang merangkap Setiausaha Organisasi MCA, Datuk Hon Choon Kim cuma mampu berkata, ia pasti dapat ditetapkan sebelum sesi persekolahan baru.
Dalam sidang media yang diadakan Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina pada pagi Selasa, 12 Oktober 2005, pengerusinya Encik Yap Sin Tian menyingkapkan, MCA pada prinsipnya setuju dengan cadangan DJZ untuk membuka semula sekolah asal SJKC Damansara sebagai sebuah sekolah baru untuk memuaskan kehendak penduduk sekitar Petaling Jaya, namun cadangan ini tidak mungkin direalisasikan dalam masa terdekat.
Encik Yap juga menerangkan, sungguhpun MCA berjanji memindahkan SJKC yang terletak di kawasan terpencil ke bandar utama serta memulihkan kembali permit SJKC yang sudah ditutup, ia tidak berupaya berjanji agar sekolah baru dibina dengan sistematik berdasarkan keperluan semasa.
DJZ turut menuduh adalah tidak adil bagi SJKC kerana cuma mendapat peruntukan kerajaan sebanyak 3% di bawah RMK-7, RMK-8 dan RMK-9 yang akan datang, memandangkan jumlah pelajar di SJKC adalah 20% daripada seluruh pelajar.
MCA juga setuju dengan DJZ bahawa selain daripada peruntukan kewangan, adalah juga tidak adil untuk mengkategorikan SJKC kepada “sepenuh bantuan” dan “separuh bantuan” kerana ia tidak termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Dengan ini, MCA berjanji akan “cuba sedaya upaya” untuk meminta lebih banyak peruntukan daripada kerajaan. Ini menunjukkan MCA masih pengecut lagi kerana hanya berani meminta “lebih sedikit” peruntukan, sedangkan yang diharapkan rakyat adalah peruntukan yang sama rata dengan sekolah aliran lain.
DJZ menegaskan peperiksaan Sains dan Matematik mesti diadakan dalam bahasa ibunda, dan menyeru kerajaan memulihkan pengajaran dan peperiksaan Sains dan Matematik di sekolah-sekolah semua aliran ke bahasa ibunda, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil masing-masing.
Walaupun MCA juga setuju dengan cadangan DJZ, akan tetapi MCA tidak berhasrat mendesak kerajaan berbuat demikian. MCA cuma berniat meminta kerajaan agar cuba menambah waktu Bahasa Inggeris serta Sains dan Matematik dalam Mandarin, dan mengurangkan waktu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. MCA juga menegaskan peperiksaan Sains dan Matematik harus diadakan dalam Bahasa Cina.
DJZ juga menegaskan hak Lembaga Pengurus untuk mengurus sekolah tidak boleh dipertikaikan, kerana ia adalah termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Akan tetapi, MCA mendakwa mereka tidak tahu adanya garis panduan baru mengenai Lembaga Pengurus sekolah yang berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
![]() |
MCA sekali lagi bersetuju bahawa status Lembaga Pengurus SJKC mesti dipertahankan dengan peraturan yang jelas. Oleh sebab statusnya yang tidak jelas, banyak masalah telah muncul, seperti siapakah di antara Lembaga Pengurus atau Kementerian Pelajaran yang berhak untuk memberikan tender untuk kantin dan kedai di sekolah, serta masalah penandatanganan cek sekolah. Namun, selain daripada “bersetuju”, MCA cuma mampu berjanji untuk “cuba sedaya upaya untuk menyelaras agar masalah tersebut diselesaikan”.
Rombongan DJZ yang merangkumi 19 orang wakil diketuai oleh Pengerusi baru Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Encik Yap Sin Tian dan Pengerusi Persekutuan Guru Cina Malaysia, Encik Ong Chiow Chuen, manakala rombongan MCA diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Chan Kong Choy. Turut menghadiri pertemuan itu termasuk Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Fu Ah Kiaow.
Soalan-soalan yang dibangkitkan DJZ semuanya menembak MCA dengan tepat sekali, seperti “Bagaimanakah waktu Sains dan Matematik untuk Darjah 4 akan diatur tahun depan?”, “Kenapa aturan waktu pelajaran Darjah 4 bagi tahun 2006 belum diumumkan?”, “Bagaimanakah Kementerian ingin menangani masalah tender kantin sekolah dan apakah pendirian MCA?”, “Peruntukan kerajaan kepada SJKC cuma 3% di bawah RMK-7 dan RMK-8, apakah asasnya?” serta “Apakah MCA setuju membuka SJKC Damansara (asal) yang dikosongkan selama 5 tahun ini sebagai sebuah sekolah baru?”.
Soalan yang menyerang amanah dan kejujuran MCA, seperti “Apakah waktu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris benar-benar digunakan untuk mengajar istilah sahaja, seperti yang dijanjikan Tun Ling?” memang memalukan MCA. Namun, semua masalah ini adalah amat berkait rapat dengan masa depan negara, dan MCA yang berjanji mewakili masyarakat Cina serta akan mempertahankan pendidikan bahasa ibunda terpaksa menjawabnya juga. Yang dukacita sekali, MCA memilih untuk “menyelesaikannya dalam persendirian” dan tidak berani menghadapi rakyat jelata.
KeadilanRakyat.org : MCA Akui “Memang Tak Kuasa Nak Tambah Bilangan SJKC”















