Dr. Sun Yat-sen

Hari ini, 10 Oktober 2005, merupakan ulang tahun ke-94 Kebangkitan Wuchang yang diketuai pengikut-pengikut Dr. Sun Yat-sen untuk menggulingkan Dinasti Ching yang korup dan boros.

Dinasti Ching yang diasaskan orang Manchuria pada tahun 1644 telah menjadi amat lemah pada hujung abad ke-18. Pada tahun 1841, British yang berdendam kerana candu yang diimport dimusnahkan oleh pegawai tinggi China telah menyerang China. Tentera Dinasti Ching gagal mempertahankan negara, menyebabkan Pulau Hong Kong, Semenanjung Kowloon dan New Territories dijadikan tanah jajahan British pada tahun 1842, 1860 dan 1898 masing-masing.

Empress Dowager (Bonda maharaja) Cixi yang merupakan tok dalang kepada maharaja budak pada masa itu telah membina taman rekreasi mewah peribadi dengan peruntukan untuk memperkembangkan kapal-kapal tentera laut. Oleh yang demikian, dalam Peperangan Sino-Jepun 1895, tentera laut dengan peralatan yang uzur terpaksa menerima cabaran tentera laut Jepun yang moden. Akibatnya, tentera laut Dinasti Ching dihapuskan sama sekali, dan Taiwan dijadikan tanah jajahan Jepun.

Dr. Sun Yat-sen, seorang doktor perubatan, telah mengetahui bahawa kerajaan yang begini mesti digulingkan. Beliau menjelajah ke sana sini untuk mendapatkan sokongan ramai, termasuk Tokyo, London, Pulau Pinang, Singapura dan Honolulu. Di Pulau Pinang, Dr. Sun telah menerbitkan akhbar Kwong Wah Jit Poh, yang merupakan suratkhabar tertua di antara suratkhabar berbahasa Cina yang masih beroperasi di dunia kini.

Akhirnya, pada 10 Oktober 1911, revolusi telah bermula di kota Wuchang, dan diikuti dengan ledakan rakyat yang sama di seluruh negara. Akhirnya, pemerintah maharaja telah digulingkan dan digantikan dengan sistem republik. Pada 1 Januari 1912, Republic of China telah diasaskan, dan 10 Oktober ditetapkan sebagai hari kebangsaan untuk memperingati Kebangkitan Wuchang. Badan-badan yang ditubuhkan Dr. Sun pula distruktur semula dan dinamakan Kuomintang (Parti Nasionalis) dan menjadi pemerintah.

Malang tak berbau. Apabila tentera pemerintah terpaksa bekerjasama dengan tentera Komunis untuk berperang dengan Jepun, setelah Chiang Kai-shek diculik oleh warlord Peter Chang Hsueh-liang, Komunis hanya akan beruntung. Daripada tidak sampai 20 ribu askar yang Komunis ada pada 1937, jumlah itu berkembang kepada 1.2 juta setelah tamatnya Perang Dunia Kedua.

Mereka tidak berminat untuk berperang dengan Jepun. Mereka cuma ambil kesempatan ini untuk nantikan peruntukan kewangan, senjata dan makanan untuk memperkembangkan angkatannya. Hu Jintao sendiri telah mengakui pada tahun ini bahawa angkatan Kuomintanglah yang sebenarnya berjasa menentang tentera Jepun di medan perang utama. Dulu, retorik Komunis mendakwa yang paling berjasa dalam memerangi Jepun adalah mereka sendiri.

Sebagai salah satu pemenang Perang Dunia Kedua, Republic of China telah bersama dengan Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Rusia mengasaskan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan menganggotai Majlis Keselamatan.

Namun, dengan kuasa yang bertambah, Komunis telah menewaskan Kuomintang, dan mendirikan negara baru dan namakannya Republik Rakyat China (People’s Republic of China) pada 1 Oktober 1949. Kuomintang terpaksa berundur ke Taiwan. Ramai orang terutama yang naif mengalu-alukan kedatangan Komunis, ingatkan mereka pembela rakyat, tanpa mengetahui yang menanti mereka sebenarnya penyeksaan, pembunuhan dan kezaliman.

Beberapa hari dahulu, apabila Bali dibom oleh pengganas fundamentalisme lagi, ada juga mereka yang sedang bercheerskan cocktail untuk meraikan ulang tahun sebuah negara. Mereka sibuk meraikan ulang tahun ke-56 sebuah negara. Sebuah pemerintahan kuku besi yang merampas kuasa dengan keganasan. Sebuah pemerintahan autokratik di mana kebebasan bersuara dan sistem demokrasi dinafikan. Sebuah pemerintahan zalim yang sepanjang pemerintahan 56 tahunnya telah menyaksikan 80 juta “Kematian tidak biasa”. Sebuah pemerintahan yang bernama “Republik Rakyat China”.

Apakah yang “Republik Rakyat China” sangat di Republic Rakyat China? Republik di mana Parti Komunis memerintah bagaikan maharaja, yang Rakyatnya dinafikan hak mengundi, dan segala-galanya budaya tradisional China telah dihapuskan serta tulisan China yang cantik dan bersejarah telah “dipermudahkan”.

Bukan niat kita untuk persoalkan sistem Komunisme atau Sosialisme yang pada asalnya bertujuan membahagikan kekayaan dengan adil kepada manusia, tetapi yang kita persoalkan kaedah-kaedah ganas dan zalim Parti Komunis ini untuk merampas kuasa, menghamba-abdikan rakyatnya dan membunuh sesuka hati.

Dengan perancangan yang simplistik dan tidak munasabah, kempen Great Leap Forward yang berlangsung dari 1958 hingga 1960 mendatangkan padah. Dengan cara yang salah, tujuan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian tidak tercapai, malah pengeluaran makanan jatuh ke angka tahun 1951. Dijangka 30 juta orang “dikurangkan secara tidak biasa” kerana kebuluran.

Red Guards yang tergila-gila memegang buku Chairman Mao’s Quotation dalam Revolusi Kebudayaan

Dalam Revolusi Kebudayaan dari 1966 hingga 1976, yang asalnya merupakan strategi Mao Zedong untuk menyingkirkan Liu Shaoqi, pelajar-pelajar dari bandar-bandar dikerah untuk bekerja keras di ladang berkumpulan di pendalaman, sehingga ada yang masih tidak dibenarkan balik ke kampung asal mereka selepas tiga dekad ia tamat.

Mereka yang mempunya ahli keluarga yang pernah berniaga atau mempunyai sawah padi sendiri dilabelkan sebagai Kapitalis, mereka yang antara saudara-mara mereka melarikan diri ke Taiwan dilabelkan sebagai Pengintip Imperialisme. Semuanya tergolong kepada anti-Revolusi, dan akan diseksa saban hari sehingga mati. Yang tidak diseksa pula kehilangan nyawa kerana kebuluran. Inilah pembebasan agaknya, pembebasan daripada cengkaman Komunis!

Pada tahun 1971, atas desakan ramai, Taiwan telah mengosongkan kerusinya di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), termasuk di Majlis Keselamatan, dan ia diambil alih oleh China Komunis. Memang benar China yang dimastautin beratus-ratus juta penduduk (sudah mencecah 1.3 bilion sekarang) tidak harus dinafikan perwakilan mereka di PBB. Akan tetapi, apakah ia perlu dilakukan dengan mengorbankan hak warganegara Taiwan untuk diwakili di PBB ?

Apakah wajar untuk memberikan kerusi di Majlis Keselamatan PBB, sebuah jawatan yang penting dan bertanggung jawab untuk memastikan keselamatan di dunia, kepada China yang asyik membunuh dan menyeksa rakyat sendiri, ketika Revolusi Kebudayaan (1966-1976) yang kegila-gilaan, di mana dijangka 30 juta lagi orang telah mengalami “Kematian tidak biasa”, masih hangat dilancarkan?

Penunjuk perasaan yang dicederakan oleh Tentera Pembebasan Rakyat di Dataran Tiananmen

Sedangkan orang ramai ingat parti pemerintah China sudah mula bertaubat selepas reformasi ekonomi sejak 1981, Komunis sekali lagi menunjukkan wajah sebenar mereka. Apabila mahasiswa-mahasiswi muda berarak dan berdemonstrasi di Dataran Tianamnen, Beijing untuk menuntut demokrasi dan kebebasan, mereka diberikan tiket percuma untuk masuk ke syurga. Thaksin Shinawatra membunuh rakyatnya dengan rifle dan peluru, Komunis menggelek rakyatnya dengan tank. Kita di Malaysia sesungguhnya patut bersyukur kepada Umno kerana tahanan tanpa bicara dan kematian dalam tahanan memang tidak setinggi di China.

Kerajaan Barisan Nasional merupakan yang paling awal sekali mencadangkan keanggotaan PBB untuk China. Malaysia juga negara Asia Tenggara pertama yang menghantar rombongan lawatan yang diketuai menteri kabinet ke China selepas Beijing Massacre pada 1989. Barisan Nasional mengharamkan Epoch Times, sebuah akhbar anti-Komunis dan Falungong, sebuah persatuan peminat “spiritual practice” yang ditakuti Parti Komunis China kerana daya mobilisasinya, daripada berkembang di Malaysia, sedangkan negara jiran kita, Singapura yang juga amat rapat dengan China mengizinkan mereka dengan dada terbuka.

Apakah Barisan Nasional takutkan Komunis sangat sehingga mesti melakukan semuanya untuk memujuk hati abang Komunis di Beijing? Bukankah tidak lama dahulu mereka masih sibuk menegaskan semula pendirian anti-Komunis mereka dengan mensyaitankan kenyataan media Ronnie Liu?

Rejim zalim Republik Rakyat China menggelek rakyatnya dengan tank

Apabila pemerintah China enggan menyebut tentang Beijing Massacre, mereka gelar mengingatkan kita tentang Nanjing Massacre, bahawa Jepun mesti meminta maaf dan membayar ganjaran. Pernahkah mereka sendiri meminta maaf dan membayar ganjaran kepada mangsa-mangsa Beijing Massacre?

Komunis juga amat tidak puas hati dengan buku teks sejarah Jepun yang memperindahkan sejarah Nanjing Massacre. Memang, sejarah tidak patut diubah. Sayang sekali, tidak pernahkah parti pemerintah China ini sendiri mengubah sejarah? Bagaimanakah buku sejarah mereka menceritakan Revolusi Kebudayaan dan Beijing Massacre? Adakah budak-budak di China diberitahu tentang tank-tank kita menggelek mereka yang inginkan kebebasan?

Satu lagi kekeliruan Komunis mengenai Jepun. Di Jepun, sekolah-sekolah bebas memilih buku teks yang diterbitkan mana-mana penerbit, dan yang diterbitkan right-winger itu cuma digunakan di kurang daripada 0.5% daripada semua sekolah. Ini tidak wujud di China, di mana semua sekolah terpaksa membeli buku teks yang diterbit parti pemerintah.

Suku kaum Uighur dijajah di Xinjiang

Komunis juga menjajah bangsa di sekitar China dengan kuku besi. Mereka yang menuntut kemerdekaan seperti Uighur di Xinjiang dan Tibetans di Tibet. Sami dan biarawati Buddha yang semuda 13 atau 14 tahun turut dipenjarakan dan diseksa kerana menuntut kemerdekaan Tibet. Parti pemerintah China juga memaksa Muslim Uighur di Xinjiang bertutur dalam bahasa Mandarin, dengan suruh mereka, “Cakap bahasa manusia, jangan cakap bahasa binatang!” Begitulah cemerlangnya parti pemerintah China ini.

Kebebasan bersuara sebagai salah satu hak asasi manusia tidak pernah dinikmati rakyat di China, di mana semua media massa dikawal ketat dan dijadikan lidah propaganda. Seorang bekas timbalan ketua pengarang People’s Daily pernah mengakui bahawa selain daripada tarikh, segala-galanya yang dicetak di dalam People’s Daily adalah pembohongan.

China Central Television (CCTV) dan Phoenix TV juga tidak berbeza. Seperti RTM, CCTV dan Phoenix juga minat dalam siarkan separuh sahaja kebenaran. Mereka selalunya mendakwa Presiden Chen Shui Bian telah berkata sesuatu, dan terus menyiarkan footage jurucakap Komunis membidas Presiden Chen, tanpa membenarkan penonton melihat dengan mata sendiri apakah yang telah Presiden Chen berkata.

Sebagai lidah propaganda, sudahlah tentu cerita yang menyingkapkan kelemahan parti pemerintah tidak mungkin disiarkan. Dr. Jiang Yanyong, bekas Pengarah Hospital 301 Tentera Pembebasan Rakyat, iaitu orang pertama yang bangkit menuduh parti pemerintah berbohong apabila menafikan tersebarnya Sindrom Penafasan Akut Teruk (Sars) di China secara meluas, pernah membekalkan semua fakta dan bukti tentang Sars yang dikumpulnya kepada Phoenix TV dan CCTV. Akan Tetapi, dua media ini langsung tidak menghiraukannya.

Mengagumkan? Tidak sama sekali. Tauke besar Phoenix TV, Liu Chang Le merupakan bekas pakar propaganda dalam Tentera Pembebasan Rakyat, iaitu tentera Komunis. Kini, oleh kerana kepentingan mereka selari dengan Umno, bukan sahaja CCTV dan Phoenix diundang ke dalam keluarga-keluarga Malaysia, malah jualan People’s Daily pun telah dibenarkan di negara kita yang kononnya sangat anti-Komunis ini.

Di sebelah selat, senario amat berbeza di Taiwan. Ahli-ahli politik termasuk menteri, ahli parlimen dan datuk bandar dari pelbagai parti diundang ke siaran langsung talkshows di mana mereka digoreng dengan soalan-soalan yang tajam, bukan sekadar daripada pengacara, malah daripada penonton di seluruh dunia yang menujukan soalan atau kritikan mereka melalui call-in. Mungkinkah ini berlaku di sebuah negara, yang mana menterinya pergi menjawab soalan yang ditujukan para ahli parlimen di Parlimen pun keberatan?

Presiden Chen Shui Bian, lambang Reformasi di Taiwan

Mengundi dalam pilihanraya bermaksud kita juga boleh menyingkirkan mereka yang kerjanya tidak memuaskan. Di Taiwan, kita telah saksikan sistem demokrasi berfungsi dengan baik. Rakyat bebas bersuara dan berfikir, dan bebas mengundi sesiapa sahaja yang mereka menganggap sesuai untuk jawatan-jawatan awam daripada Presiden dan Ahli Parlimen kepada Datuk Bandar, Pegawai Daerah dan Ahli-ahli Majlis Perbandaran / Daerah. Apa sahaja keputusan yang mereka buat dan wang yang mereka belanjakan, penjelasan mesti diberikan kepada rakyat.

Pada tahun 2000, gerakan reformasi akhirnya menang di Taiwan apabila calon Presiden dari Parti Progresif Demokratik (DPP), Chen Shui Bian memenangi pilihanraya umum. Sungguhpun beliau juga didakwa terlibat dalam penyelewengan, tetapi pengundi Taiwan berpeluang menggantikannya dalam pilihanraya, dengan teramalnya sistem demokrasi.

Memindahkan logik ini ke Malaysia, ia bermaksud jika penduduk Subang Jaya tidak inginkan jejambat ke Batu Tiga yang akan menjadikan kesesakan sekitar Subang Jaya lebih teruk, Yang Dipertua dan ahli-ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya akan mengambil kira pandangan penduduk setempat, jika tidak, mereka mungkin tidak diundi semula. Mungkinkah ia berlaku di negara ini?

Penyokong KMT dan PFP di Taipei tidak menemui nasib serupa seperti saudara mereka di Dataran Tiananmen, Beijing

Pada tahun 2004, apabila calon Presiden Lien Chan dari Kuomintang dan calon Timbalan Presidennya James Soong dari parti sekutu, People First Party kecundang di dalam pilihanraya presiden sekali lagi, ribuan penyokong mereka telah menunjuk perasaan di dataran di depan Pejabat Presiden untuk berminggu-minggu. Pernahkah pemerintah Taiwan menyuraikan mereka dengan kekerasan? Tidak. Sebenarnya, yang akhirnya menyuraikan mereka ialah Datuk Bandar Taipei, Ma Ying-jou yang baru-baru ini menjadi Presiden Kuomintang.

Dr. Sun Yat-sen, bersama dengan Jose Rizal yang digelar “Pride of the Malay Race” dan Mahatma Gandhi dianggap 3 wira pelopor kemerdekaan Asia. Dunia kita tidak kekurangan wira sebegini, tetapi jika kita inginkan mereka berjaya, kita mesti memberikan sokongan padu. Di Indonesia dan di Filipina pun, demokrasi bukanlah durian jatuh. Ia merupakan hasil perjuangan beribu-ribu hinga berjuta-juta rakyat yang dahagakan kebebasan. Reformasi di Malaysia masih belum berjaya, tetapi ia mesti kecapaian jika warga Malaysia berazam dan bertekad memastikan kejayaannya! Jika ia boleh di Taiwan, kenapa tidak di Malaysia?

Marilah kita mengucapkan tahniah kepada seluruh bangsa manusia. Tahniah kerana zaman autokratik di mana penapisan media bermaharajalela sudah lama berakhir di republik pertama di Asia ini. Tahniah kerana demokrasi mampu bertumbuh di masyarakat Asia juga. Tahniah kerana hak asasi manusia telah dibuktikan bukan bertentangan dengan nilai-nilai tradisional dan keagamaan masyarakat Timur.

Tahniah kerana kebebasan bersuara bukan menjadi halangan kepada perpaduan negara. Tahniah kerana reformasi rakyat akhirnya akan menang juga. Dan yang paling penting sekali, ucapan tahniah ini bukan untuk meraikan sebuah pemerintah kuku besi yang demi survival dirinya sanggup membunuh 80 juta rakyat yang tidak berdosa!