Sektor penyiaran radio sekali lagi menjadi fokus pelbagai pihak. Keuntungannya yang lumayan dan kuasa ajaibnya untuk memimpin corak pemikiran rakyat menjadikannya medan perang bukan sahaja di antara korporat besar malah parti-parti pemerintah yang ingin menakluki ruang kebebasan bersuara.

Semasa para deejay dan pendengar Wa fm 96.6 bertungkus lumus cuba menyelamatkan saluran itu daripada ditutup, Star Publication yang dimiliki MCA pula mengumumkan mereka telah membeli satu lesen radio baru dengan RM 7 juta.

Huaren Holdings iaitu sayap pelaburan MCA memiliki 40% saham Star Publications yang menerbitkan suratkhabar Bahasa Inggeris terlaris di negara, The Star. Huaren Holdings turut menjadi pemegang saham utama di Nanyang Press, iaitu penerbit Nanyang Siang Pau dan China Press.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Penerangan Datuk Donald Lim Siang Chai pernah berkata, jika Wa fm 97.6 berubah menjadi sebuah saluran radio bukan berbahasa Tionghoa apabila ia mula beroperasi semula, MCA boleh bersama persatuan atau syarikat lain meminta kerajaan untuk sekeping lesen penyiaran baru.

Apabila dibandingkan percakapannya ini dengan berita terkini ini, memang bukan tidak berasas jika seseorang mengesyaki MCA sudahpun bersiap sedia untuk menutupkan sebuah saluran radio yang secara relatif lebih bebas dan menggantikannya dengan sebuah saluran sendiri.

Wa fm yang dimiliki Natseven TV Sdn Bhd telahpun mengumumkan ia akan tutup untuk sementara apabila pengstrukturan semula bermula nanti. Natseven TV yang mengalami kerugian besar telah bersetuju diselamatkan oleh Media Prima Bhd di mana selepas pengstrukturan semula, Media Prima mempunyai opsyen untuk mengambil alih Natseven TV. Natseven TV memiliki ntv7 dan Wa fm manakala Media Prima mempunyai TV3, 8TV, New Straits Times dan Berita Harian.

Bermula dari hari Rabu, sekumpulan penyokong Wa fm telah memulakan petisyen membantah penutupan Wa fm di alam siber dengan SMS dan emel. Menurut pengumuman yang dikeluarkan Synchrosound Studio Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Natseven TV yang memegang lesen penyiaran radio Wa fm, ia akan ditututp mulai 15 Oktober 2005.

Star Publication telah menerangkan kepada Bursa Malaysia pada petang Rabu bahawa ia telah menandatangani persetujuan dengan Encik Mohd Dinniah untuk membeli 70% saham syarikat Rimakmur dengan RM 7 juta. Senarai semua pemegang lesen Pembekal Perkhidmatan Penggunaan Kandungan (Content Application Service Providers, CASP) boleh dicapai di laman Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (K-TAK).

Lesen CASP kepunyaan Rimakmur Sdn Bhd yang belum digunakan ini akan luput pada bulan Mac, 2010.

Star Publication sebelum ini telah memiliki dua saluran radio iaitu Redi fm 988 yang berbahasa Tionghoa serta Red 1049 yang dwibahasa. Menurut para penganalisa, dua saluran radio ini mengalami sekurang-kurangnya kerugian sebanyak RM 1 juta hingga RM 2 juta setahun.

Setelah mengambil alih Rimakmur Sdn Bhd, rangkaian penyiaran radio di bawah Star Publication akan bertambah menjadi tiga buah. Dalam kenyataan media Star Publication, ia menerangkan bahawa tindakan ini akan memberi peluang kepada syarikat tersebut untuk memajukan penyiaran radio serta mempertingkatkan penguasaannya ke atas pasaran pengiklanan radio.

Ketika ini, pasaran pengiklnan radio dikuasai oleh Measat Boardcast System Network (MBSN) iaitu Astro yang memiliki 8 saluran radio fm termasuk Era fm, My fm, Hitz fm, Mix fm, Light & Easy fm, Xfresh fm, Sinar fm serta THR 99.3 fm yang diambil alih akhir-akhir ini. Syarikat ini mengawal 70% daripada pasaran pengiklanan radio.

Sungguhpun perbelanjaan pengiklanan di radio amat kecil dibandingkan dengan seluruh perbelanjaan pengiklanan (Advertisement Expenditure, Adex) di semua media massa, iaitu hanya 3.8%, namun keuntungan yang disumbangkan oleh sektor radio masih dikira agak tinggi untuk Astro, iaiatu sebanyak sesuku atau lebih kurang RM 40 juta setahun.

Seorang penganalisa menjelaskan, kerugian dari industri penyiaran radio tidak akan berubah sungguhpun suatu saluran baru ditambah. Walau bagaimanapun, kerugian beberapa juta ringgit sahaja langsung cuma ikan bilis yang tidak akan menjejaskan prestasi Star Publication, syarikat yang maraih untung sebanyak RM 141 juta setahun.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting pernah berkata di Wa fm, “Saya berasa bebas sangat di sini.” Akan tetapi, kalau beliau boleh berucap di sebuah saluran radio milik parti sendiri, pastilah akan beliau rasa lebih bebas, selesa dan bangga.

Wa fm yang akan menemui ajalnya 15 Oktober nanti telah beroperasi selama 2 tahun setengah, setelah ditransformasi daripada saluran dwibahasa iaitu Wow fm di frekuensi yang sama. Rancangan perbincangan hal ehwalnya “Lampu Isyarat Balik Kerja” amat disukai ramai kerana ia memperkenalkan ruang bebas bersuara secara call-in yang tidak didapati di saluran-saluran lain baik berbahasa Tionghoa mahupun berbahasa Melayu atau Inggeris.

Ramai calon-calon pemilihan parti MCA telah dijemput ke rancangan tersebut sempena musim pemilihan parti MCA akhir-akhir ini. Pengacaranya yang berani mencabar batas-batas ruang kebebasan bersuara telah memengani banyak pendengar yang sudah penat dengan propaganda pemerintah dan mendahagakan kebebasan bersuara. Oleh yang demikian, ramai pendengar berasa amat dukacita dengan insiden penutupan ini dan meragui apakan agenda sebenar.

Yang lebih pelik lagi, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Donald Lim yang juga Naib Presiden MCA apabila ditanya mengenai isu ini berkata, jika Wa fm tidak dapat diteruskan, MCA akan menolong untuk memulakan sebuah saluran radio berbahasa Tionghoa yang baru. Nampaknya sekarang bukan MCA yang akan membantu memulakan saluran baru tetapi memilikinya. Niat jahat parti pemerintah ini untuk menghapuskan Wa fm dan gantikannya dengan saluran sendiri telahpun secara terus terang terbongkar.

Percakapan Donald Lim ini telah mendatangkan ejekan daripada masyarakat umum. Bagi mereka yang pernah mengalami “Kemalangan Akhbar” 28 Mei 2001 iaitu kejatuhan Nanyang Siang Pau dan China Press ke tangan MCA 4 tahun dahulu, “bantuan” daripada Donald ini amat mencurigakan. Kolumnis terkemuka, Encik Yong Sun Yong pula menyumbangkan suatu tulisan bertajuk “Daripada Wa! fm kepada Wa! MCA” (从哗FM到哗MCA) di Malaysiakini.

Memandangkan Donald berjanji meminta taukenya Umno untuk meluluskan satu lagi lesen penyiaran baru, Kolej New Era iaitu kolej bukan untuk keuntungan yang dimiliki masyarakat juga inginkan bantuan Datuk untuk memulakan penyiaran radio. Kolej New Era menawarkan kursus kewartawanan dan penyiaran dan antara pensyarahnya termasuk Puan Sonia Randhawa iaitu pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (Centre for Independent Journalism, CIJ).

Menurut angka yang diumumkan syarikat soal selidik Neilsen akhir-akhir ini, perbelanjaan pengiklanan (Adex) di Malaysia untuk enam bulan pertama tahun 2005 mencapai RM 2.171 bilion, iaitu loncatan sebanyak 4.5% tahun ke tahun, berbanding dengan jangka masa sama tahun lepas. Segmen yang dikuasai industri penyiaran radio adalah sebesar 3.8% bersamaan RM 83 juta.

Segmen yang dikuasai suratkhabar terus menjadi juara, mencapai 63% Adex iaitu RM 1.37 bilion, diikuti dengan televisyen yang menguasai 27.3% iaitu RM 594 juta.

Dengan kata lain, perniagaan ini bukan sahaja amat menguntungkan, malah mengizinkan kebebasan bersuara yang tidak terbatas kepada pemimpin-pemimpin parti pemerintah. Mungkinkah mereka tidak tergoda?

Petisyen untuk membantah penutupan Wa fm boleh dicapai di petitiononline.com/WAFans.

KeadilanRakyat.org: Ambil Alih Radio Baru, Rangkaian Propaganda MCA Bertambah

Merdekareview: 星报收购新电台执照 马华公会再添一喉舌