Ambil Alih Radio Baru, Rangkaian Propaganda MCA Bertambah
Sektor penyiaran radio sekali lagi menjadi fokus pelbagai pihak. Keuntungannya yang lumayan dan kuasa ajaibnya untuk memimpin corak pemikiran rakyat menjadikannya medan perang bukan sahaja di antara korporat besar malah parti-parti pemerintah yang ingin menakluki ruang kebebasan bersuara.
Semasa para deejay dan pendengar Wa fm 96.6 bertungkus lumus cuba menyelamatkan saluran itu daripada ditutup, Star Publication yang dimiliki MCA pula mengumumkan mereka telah membeli satu lesen radio baru dengan RM 7 juta.
Huaren Holdings iaitu sayap pelaburan MCA memiliki 40% saham Star Publications yang menerbitkan suratkhabar Bahasa Inggeris terlaris di negara, The Star. Huaren Holdings turut menjadi pemegang saham utama di Nanyang Press, iaitu penerbit Nanyang Siang Pau dan China Press.












