Gajah Putih Bernilai RM 160 Juta di Kawasan MB Selangor
Oleh Chan Wei See ( 陈慧思 ), Merdekareview, diterjemahkan oleh KR.org
Selama lima tahun yang lepas, Kawasan ADUN Sungai Panjang di Selangor bertuah memperolehi tiga projek yang bernilai RM 160 juta, iaitu 10% daripada peruntukan pembangunan tahunan di negeri Selangor. Usahlah kita berasa terperanjat dengan angka ini, kerana Sungai Panjang ini merupakan kawasan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohd Khir Toyo, malah, sudahlah pasti semuanya pembangunan ini hanya berlaku selepas beliau mengambil alih kuasa pada tahun 1999.
Di Sungai Haji Dorani, sebuah kampung nelayan terpencil yang berjarak 15 km dari Skinchan, suasananya sunyi dan permandangannya tidak seberapa. Yang memeranjatkan, ia merupakan pusat peranginan yang terpilih oleh kerajaan negeri. Yang pasti, kerajaan negeri Selangor mestilah berani mengambil risiko dan berkreativiti tinggi, untuk melaburkan (meleburkan?) RM 29 juta di sini.
Membelok ke jalan kecil, sebuah papan tanda yang menunjukkan arah D’Muara Marina mengalu-alukan pelawat. Di atasnya terdapat sebuah billboard propaganda Barisan Nasional yang besar. Jika rombongan ini bukan dipimpin oleh ADUN Sungai Pinang, Teng Chang Khim dan ADUN Skinchan, Ng Swee Lim, mustahillah rakyat dapat mengetahui resort pantai yang bernilai RM 29 juta di belakang ladang kelapa sawit ini. Resort yang mula beroperasi sejak Februari lalu merangkumi 10 buah kedai, 13 buah chalet serta 5 buah jeti. Kerajaan negeri juga merancangkan kemudahan jetski dan dataran kebudayaan sebagai tarikan baru. Namun, pantai yang dipenuhi lumpur sehingga 1 km jauh apabila air surut sedikit sebanyak menghampakan harapan kerajaan negeri terhadap resort ini.












