Keangkuhan dan Prejudis Kerajaan Terhadap Sejarah
Sempena kemeriahan Hari Kebangsaan, Setiausaha Antarabangsa dan Hal Ehwal Pertubuhan Bukan Kerajaan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Ronnie Liu Tian Khiew menerangkan dalam kenyataan media beliau, The real fighters for MERDEKA, bahawa generasi baru di Malaysia kurang memahami sejarah, kerana buku teks sejarah kita tidak merakamkan kebenaran sejarah.
Menurut beliau, “Bertentangan dengan apakah yang dipelajari dari buku teks, pemimpin Umno bukan pejuang kemerdekaan yang sebenar”. Ini telah mencetuskan bantahan kuat dari pimpinan Pemuda Umno, sehingga mereka menjeritkan kata-kata biadap dengan histeria di lidah propaganda Umno, Utusan Malaysia.
Ketua pengarang New Straits Times (NST) iaitu sebuah lagi lidah propaganda Umno, Kalimullah Hassan pula bersubahat dengan Naib Ketua Pemuda Umno, iaitu menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin untuk memutar belitkan kenyataan Ronnie, setelah berjaya memfitnah blogger Jeff Ooi Chuan Aun pada 2 Oktober tahun lepas.
Ronnie menamakan Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin al-Helmi, Ishak Haji Mohammad (Pak Sako), Arshad Ashaari, Dahari Ali, Baharuddin Tahir, Khadijah Ali, Ibrahim Karim, Kamarulzaman Teh (Pak Zaman), Abdul Rahman Rahim dan ramai lagi pemimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai pejuang merdeka sebenar.
Akan tetapi, selepas diputar belitkan Kalimullah di NST yang tidak dapat bezakan PKM dan PKMM, Ronnie bukan sahaja didakwa memuji para pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang merdeka, malah terus menipu rakyat bahawa Ronnie telah menafikan Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan.












