Secangkir Kopi Pahit oleh Rustam A. Sani

TIGA dekad pemerintahan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri negara ini telah meninggalkan banyak kesan. Sahsiahnya sebagai seorang yang cenderung ke arah gaya pemerintahan kuku besi telah melahirkan sebuah masyarakat yang tidak begitu menghargai perbedaan pandangan dan wacana. Institusi-instiusi politik demokrasi yang biasanya melibatkan perbincangan dan perdebatan ñ seperti Parlimen dan Kabinet ñ dikatakan telah menjadi gelanggang monolog Mahathir.

Malah parti politik besar yang dipimpinnya, yakni Umno, menjadi amat terhakis sifat-sifat demokrasinya sewaktu di bawah pimpinannya. Sudah beberapa kali, dalam menghadapi pelbagai krisis, parti itu dimanipulasi untuk menangguhkan unsur-unsur demokrasinya yang amat asasi seperti pemilihan para pemimpin di perhimpunan agung. Yang menariknya, kesan kekangan pemerintahan Mahathir itu tidak sekadar berlaku dalam Umno sahaja. Kesanya terhadap pemerintahan pada keseluruhannya dan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan pemerintahan itu amatlah jelas.

Tidak banyak dasar pemerintahan negara yang telah difikirkan semula, apa lagi dibatalkan, semata-mata kerana ada pihak-pihak cerdik pandai atau profesional mengkritiknya ñ kalaupun ada cerdik pandai yang berani mengkritik kerajaan pada zaman itu.

Apa yang dikehendaki Mahathir, maka itulah yang akan terjadi. Pengalaman pahit Anwar Ibrahim merupakan peringatan jelas kepada sesiapa yang berani berbeda pandangan dengan Mahathir ñ betapapun tingginya kedudukan orang yang berbeda pandangan itu, betapapun berhati-hatinya perbedaaan pandangan itu diluahkan.

Mahathir memang merupakan seorang yang lebih mengutamakan kestabilan daripada kebebasan bersuara. Jika kita mengingatkanya tentang cara pemerintahannya yang kuku besi itu, maka saya kira dia akan mengingatkan kita betapa stabilnya suasana politik pada waktu pemerintahannya itu.

Kita mungkin boleh menuduhnya telah menyalahgunakan undang-undang yang zalim seperti ISA. Namun dia pastilah akan mengingatkan kepada kita bahawa kesan ìpenyalahgunaanî itu amatlah ìpositifî.

Kesan buruk daripada kebangkitan gerakan reformasi kebangkitan gerakan dan kesedaran anti-kerajaan yang paling besar yang pernah tercetus di negara ini telah dapat dihindarkan dan dikawal dalam masa yang singkat. Demikianlah juga halnya gerakan ìkeganasanî berasaskan Islam.

Umno telah menjadi kurang demokratis di bawah pimpinannya. Namun dia akan mendakwa bahawa di bawah pimpinannya perebutan kedudukan kepimpinan dalam parti secara terbuka telah dapat dikawal ñ malah dihapuskan ñ meskipun rasuah politik dan beli-membeli undi dalam parti tidak dapat dihapuskannya, sehingga dia beberapa kali menitiskan airmata di khalayak ramai.

Penghapusan amalan korupsi, baik dalam Umno maupun dalam kerajaan, ternyata bukanlah sesuatu yang mendapat keutamaan dalam pemerintahan Mahathir. Jika korupsi merupakan satu cara yang efisien untuk melaksanakan sesuatu (to get things done), maka pemerintahan itu tampaknya tidak akan bertindak untuk menghapuskannya.

Sebab itulah pada zaman pemerintahannya Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak lebih daripada sekadar merupakan barang hiasan. Lebih-lebih lagi jika yang melakukan rasuah itu merupakan orang yang digemarinya dan berada di pihak PM dalam percaturan politiknya.

Oleh kerana itu, bila Mahathir mengakhiri zaman pemerintahannya baru-baru ini segala kebobrokan itu ñ malah kebobrokan yang sudah terlembaga (institutionalised) itu ñ dengan tiba-tiba mengalami suasana kekuasaan yang baru. PM baru, Abdullah Badawi, tampaknya memperlihatkan keinginan untuk melakukan sesuatu. Namun keinginannya itu tidak mencapai tahap yang cukup tinggi untuk boleh dianggap sebagai iltizam politik yang mantap.

Kita dapat memahami, malah bersimpati dengan, langkah dan tindakan Abdullah yang amat berhati-hari itu. Dia bukanlah seorang Mahathir yang cukup kuat untuk bertindak sesuka hatinya, khususnya dalam kerangka percaturan politik Umno.

Malah ada pihak yang membuat spekulasi bahawa Mahathir masih merupakan tangan tersembunyi yang masih mantap genggamannya, baik dalam Umno maupun dalam kerajaan. Masih wujud kelompok-kelompok ìpro-Mahathirî yang agak kuat yang tidak dapat dikuak ketepi begitu sahaja oleh Abdullah tanpa mendatangkan bahaya politik pada dirinya sendiri.

Soalnya: Apakah perubahan akan terjadi hanya setelah Abdullah sama kuatnya dengan Mahathir kelak? Tetapi, jika Abdullah sudah menjadi sekuat Mahathir, apakah dia masih akan berminat untuk melakukan perubahan-perubahan tersebut? Tidakkah lebih baik dia menjadi penerus Mahathir sahaja pada ketika itu?

Dalam kerangka parti-parti politik (khususnya parti-parti politik dalam BN) penghakisan unsur demokrasi pada zaman Mahathir itu sebenarnya tidak terjadi terhadap Umno sahaja ñ malah terjadi juga pada parti-parti politik utama lainnya.

Semua pihak tampaknya mengambil sikap yang sama: memperoleh sokongan (dan perlindungan) Mahathir lebih penting daripada mendapat sokongan para anggota parti sendiri. Tambahan pula sokongan dalam parti sendiri itu dapat dimanipulasi dalam kerangka budaya politik wang dan politik perkauman yang berkembang mekar pada waktu itu.

Oleh itu, setelah Mahathir mengundurkan diri, kelihatan kecenderungan terhadap mengembalikan unsur-unsur demokrasi dalam parti-parti politik tersebut. Setelah lebih dua dekad demokrasi dilumpuhkan oleh pemerintahan dan kepimpinan Mahathir maka kedudukan selesa para pemimpin politik yang dulunya terjamin dan dilindungi, sudah mulai tercabar.

Namun setelah lebih dua dekad dilumpuhkan, unsur demokrasi yang cuba ditegakkan kembali itu tentulah masih jauh daripada matang dan mantap.

Amatlah menarik bahawa apabila MCA mengadakan Perhimpunan Agung Tahunannya baru-baru ini proses pemilihan para pemimpin parti itu menjadi lebih terbuka dan lebih meriah. Bukan sahaja para pemimpin utama parti itu, malah semua pihak yang terlibat (termasuklah golongan pencabar) mengakui bahawa proses pemilihan kepimpinan parti itu kali ini merupakan proses yang paling demokratis dalam masa lebih dua dekad yang lalu.

Memanglah hasil pemilihan itu menunjukkan bahawa kemenangan masih dapat dipertahankan oleh kelompok-kelompok yang ada hubungannya dengan suatu kelompok pemimpin lama yang telah memperoleh perlindungan daripada pemerintahan lama yang tidak demokratis itu. Ini, bagi saya, membuktikan bahawa proses perubahan dan pendemokrasian tidak akan berlaku dalam masa sehari. Proses itu akan memerlukan jangka waktu pematangan.

Proses pendemokrasian ini juga mulai kelihatan berlaku dalam Gerakan.
Presiden parti itu, Dr Lim Keng Yaik, memperlihatkan banyak sifat-sifat Mahathir dalam penentuan kepimpinan parti tersebut. Pada mulanya timbul persoalan apakah Timbalan Presiden parti, Kerk Choo Ting, akan menarik diri untuk memberi laluan kepada Dr Koh Tsu Khoon yang disebut-sebut sebagai calon yang dikatakan merupakan pilihan para anggota parti ñ dan dengan itu akan menjadi pengganti Lim Keng Yaik nanti.

Jika Kerk menarik diri dan berundur, maka penyelesaian itu pastilah akan merupakan penyelsaian ala zaman Mahathir yang klasik. Namun senarionya tidaklah seperti itu. Malah sebaliknya, Kerk menamakan dirinya sebagai pencabar Lim Keng Yaik sendiri untuk jawatan Presiden. Langkahnya ternyata menggemparkan Lim Keng Yaik, yang terang-terang menyatakan rasa kecewanya kerana keengganan Kerk menerima tawaran jawatan penasihat parti.

Dalam MIC, kedudukan Presidennya ñ S. Samy Vellu ñ bolehlah dikatakan sebagai paling hampir menyerupai kedudukan Mahathir dalam Umno. Apa yang dihasratkan Samy maka itulah yang akan terjadi. Mungkin kerana itulah proses pencabaran kedudukan beliau dalam MIC agak lambat terjadi. Meskipun demikian, kecenderungan ke arak tercabarnya jawatan-jawatan penting yang lainnya dalam MIC sudah mula kedengaran. Hanya masa, saya kira, yang dapat menentukan selama manakah lagi Samy sendiri akan dapat bertahan.

Nyatalah bahawa angin perubahan pasca-Mahathir sudah mulai bertiup. Malah ada pemerhati yang menyatakan bahawa angin perubahan itu sudah mulai berhembus dalam pelbagai sektor masyarakat ñ seperti bidang kehakiman, media massa, pendidikan tinggi, dan sebagainya yang selama ini begitu kuat terpasung dalam genggaman Mahathir.

Kita berharap Abdullah Badawi tidak perlu menunggu sampai dia sekuat Mahathir sebelum dia dapat memanfaatkan angin perubahan dan pendemokrasian itu.

Jika sekiranya dia masih agak lemah dalam kerangka politik Umno, maka dia sekurang-kurangnya boleh mulai menyosong angin perubahan dalam bidang-bidang lain itu terlebih dulu.

KeadilanRakyat.org : Rustam : Politik BN Pasca-Mahathir